Sunday, 17 October 2010

Realiti sekumpulan insan beragama

Assalamualaikum. 

Pertamanya, saya nekad menulis entri ini bukan untuk menghina. Cuma inginkan kepastian. Inginkan kefahaman. Sejauh mana nama agama dan akhirat yang kamu 'jual' selama ini, menjadikan kamu insan yang betul-betul mempraktikkan agama kamu. Selain itu, entri ini antara lain adalah hasil luahan rasa kesal saya kepada sekumpulan manusia yang kerap dilabel pejuang agama. Sila baca dan fahamkan kecelaruan saya. Kemudian, kamu boleh label saya 'jahil', 'bebas' dan bermacam label lagi yang biasa kamu lontarkan kepada orang-orang seperti saya. 

Saya sedar, saya bukan orang yang layak untuk memperkatakan tentang agama. Ilmu agama saya memang cetek kalau nak dibandingkan dengan ilmu kamu. Saya tak tahu kitab apa yang perlu saya baca berkaitan fiqah. Saya tak boleh nak quote mana-mana kitab tentang aqidah. Akan tetapi, saya layak untuk dilayan dan dihormati seperti orang lain. Saya berhak untuk diterima jemputan. Saya berhak meluahkan rasa kesal saya. Saya berhak dihormati seperti saya menghormati orang lain. Siapa kamu untuk ambil semua hak itu dari saya? 

Satu soalan umum saya untuk kamu. Apa definisi kamu tentang islam? Ratusan ribu kali saya dengar, lihat dan baca di mana-mana, "Islam is the way of life". Jadi, di mana 'way of life' kamu bila kamu seakan memaksa orang lain hanya mengikut telunjuk kamu. Kamu 'arahkan' mereka menghadiri 'aktiviti' kamu, menolak semua alasan yang mereka berikan termasuklah alasan punya masalah keluarga. Kamu letakkan keluarga mereka seakan tidak penting, seakan masalahnya tidak perlu diselesaikan kerana 'perkongsian agama' kamu adalah laluan pantas ke akhirat. Kamu hadiri kuliah agama di saat-saat akhir dan membatalkan terus janji kamu untuk menghadiri jemputan rakan, sedang kamu telah membuat janji pada awal waktu. Di mana 'way of life' kamu bila kamu memandang remeh soal kebersihan diri dan persekitaran kamu, bahkan kamu tergamak untuk solat dalam keadaan selekeh sedang kamu mampu untuk berada dalam keadaan yang lebih baik?

Mungkin pada kamu, islam adalah cara hidup bila kamu mempolitikkan agama. Bila kamu berebut-rebut mencari pengikut untuk gerakan agama kamu. Bila kamu tidak bergaul dengan orang yang tidak sama 'level' dengan kamu. Bukankah itu cara hidup manusia, lebih-lebih lagi manusia zaman sekarang? 

Mengimbas kembali kenangan 4 tahun lalu, sewaktu pertama kali saya jejakkan kaki ke UK. Waktu itu saya dan 7 rakan yang lain dalam perjalanan ke university. Kami dimaklumkan, akan ada senior yang akan membantu dan menjemput kami dari perhentian bas. Syukur pada Allah. Ada senior yang baik hati. Sesampainya di Surrey, kami turunkan bagasi-bagasi kami dari bas dan menunggu dengan sabar kehadiran senior. Beberapa minit menanti, datang sebuah lori mengangkut barang. Di dalamnya seorang lelaki dan seorang perempuan. Senior kami! Mereka bantu mengangkat bagasi ke dalam lori, dan membawa kami berulang-alik (2 orang setiap trip) dari perhentian bas ke tesco. Masih ingat siapa mereka dan budi mereka. Hanya orang-orang biasa, yang bukan dari golongan yang nampak tebal agamanya, tapi cukup ikhlas dan baik hati menolong kami. 

Setahun selepas itu, setelah masuk tahun ke-2, semestinya waktu itu tiba giliran saya dan rakan-rakan yang lain pula yang akan menerima junior. Mengingatkan susah payah waktu junior kami dulu, dari airport, bermalam di MSD, kemudian naik bas ke surrey dan naik lori ke university, kami putuskan untuk menjemput junior kami di airport. Saya masih ingat. Kami bertiga. Saya, sara dan basyeer. Niat kami hanya untuk membantu, memudahkan perjalanan sukar junior kami. Itu sahaja. Tiada apa yang terselindung. Tidak pula berharap mereka terhutang budi. 

Tapi, bukan itu yang berlaku pada tahun-tahun selepasnya (di mana, saya sudah tidak melibatkan diri dengan menjemput junior). Bukan untuk kemudahan. Bukan untuk bantuan semata. Bukan. Bukan! Apa saja niat kamu, saya pasti, sebagai orang yang tinggi pengetahuan agamanya, kamu juga sedia maklum, niat tidak menghalalkan cara.

Saya luahkan apa yang saya lihat, alami dan dengar. Saya tidak mereka-reka cerita. Bahkan saya yakin, bukan semua dari golongan yang tinggi pengetahuan agamanya seperti yang saya ceritakan. Namun, kamu tidak berhak menyalahkan saya dengan luahan sebegini, kerana ini yang saya terima, ini yang berlaku dan ini yang antara kamu lakukan. Saya terkilan. 
If you have enjoyed this entry. Please feel free to bookmark it using your favorite social bookmarking site

Post a Comment

Have something to say? ;)