Dia kadang-kadang pelik dengan situasi sekarang. Apa yang sebenarnya sedang berlaku dan apa yang sebenarnya dia perlu buat. Mungkin bukan masalah serius. Mungkin. Bila tiba-tiba terlintas di fikiran, dia, dalam kata tidak, tetap mahukan jawapan. Apa sebenarnya ini? Bolehkah dia gelar ini adalah hubungan? Namun, hubungan yang bagaimana? Kenalan? Kawan biasa?
bergaduh [source : mymilktoof] |
Kenalan? Mereka lebih dari kenal. Dia kenal pihak lagi satu, cukup untuk mengenali selepas hampir 6 tahun berkenalan. Begitu juga pihak di sana. Bagaimana kalau kawan biasa? Dia cuba takrifkan kawan biasa. Kawan yang kadang-kadang sahaja bertanya khabar. Kawan biasa tak kisah jika lama tidak berhubung. Kawan biasa, bila bergaduh, memang tak kisah untuk berbaik balik atau tidak. Kawan biasa tak mudah sensitif atau berkecil hati. Kawan biasa juga sukar 'membaca' kawannya. Jadi, dia simpulkan, dia dan pihak lagi satu, bukan kawan biasa.
Kawan rapat agaknya. Jadi, sekali lagi, dia cuba rasionalkan bagaimana seseorang berkawan rapat dengan seseorang yang lain. Pertamanya, kata ganti nama diri pun, sudah tak seperti kawan baik. Ah, mungkin ada orang lain bkawan baik yang ber-saya-awak. Mungkin hanya dia saja yang ber-aku-engkau, ber-hoi-hey dengan kawan-kawan baiknya. Kawan baik selalu berkongsi rahsia dan masalah. Ya, ada. Dia dan pihak lagi satu juga ada berkongsi masalah. Mungkin bukan selalu. Tapi yang bukan selalu itu, biasanya adalah masalah yang agak rumit. Yang tak sewenang-wenang dikongsi dengan sesiapa. Lagi juga, kawan baik bebas membidas atau menegur keras. Kenapa? Kerana kawan baik niatnya benar-benar mahu menegur, walau sedikit keras, dia mahu si kawan itu terkesan juga, sedikit.
Bercinta? Erm.. Bercinta? Tidak juga. Dalam jangka masa hubungan aneh ini, mereka masing-masing tidak ada membicarakan soal hati antara satu sama lain. Pihak lagi satu tidak meluahkan apa-apa, begitu juga dengan dia. Pun begitu, pihak yang lagi satu ada menunjukkan tanda-tanda cemburu. Dia? *senyum* Pada suatu masa yang rawak, mereka rancak berhubung. Mengemas-kini satu sama lain tentang persekitaran masing-masing. Memberitahu itu dan ini tentang keluarga, tentang hidup, aktiviti harian dan rancangan masa depan. Pada selang masa yang lagi, kosong. Tiada komunikasi. Tiada langsung sambungtara. Dia uruskan hidup seperti biasa. Dia dan pihak yang lagi satu, sibuk dengan urusan masing-masing. Ada tikanya, deria ke-6 mereka berperanan kuat dalam kimia perhubungan. Sebaris teks di paparan telefon mudah alih, sudah cukup untuk mengesan arah mood masing-masing. Mereka mungkin sedar yang bahawa, masing-masing mengambil berat. Akan tetapi, mengambil berat belum tentu maksudnya mereka bercinta.
sibuk dengan urusan masing-masing [source: mymilktoof] |
[source : mymilktoof] |
Jadi, perhubungan ini hanya satu perhubungan. Perhubungan tanpa nama.
FJ : Pihak yang lagi satu ada ego. Dia, tidak terkecuali.
Post a Comment
Have something to say? ;)