Hari ni (24 mac 2010), saya mahu luangkan seberapa banyak masa yang saya mampu untuk kongsikan perihal pengurusan jenazah yang saya dapat dari Kursus Pengurusan Jenazah yang saya hadiri baru2 ini. Boleh dikatakan, semua orang maklum, hukum menguruskan jenazah bagi muslim adalah fardhu kifayah, di mana, cukup atau memadai jika dalam satu-satu komuniti, ada pihak yang menguruskan, maka insyaAllah, ahli komuniti lain terlepas dari tanggungan di akhirat berkenaan hal berkaitan. Namun, adakah semua orang tahu, hukum mengetahui bagaimana untuk menguruskan jenazah adalah fardhu ain - kalau tidak dilakukan, bukan sahaja berdosa, malah boleh memberi impak pada status keimanan seseorang muslim. Jadi, masih mahu fikir 2 kali untuk baca info ini? :)
Perkataan 'mati' disebut sebanyak 148 kali di dalam al-Quran dalam pelbagai bentuk. Antaranya di dalam;
- Surah al-An'am : 61 - sedikit huraian kandungan; Malaikat maut tidak akan tersilap orang sewaktu mencabut nyawa, tidak akan terlewat atau tercepat sedikit masa sekali pun. Dalam satu hadith yang diriwayatkan, menceritakan perihal malaikat memalingkan mukanya sewaktu mencabut nyawa Rasulullah kerana tidak sanggup menatapi wajah sakit baginda ketika nyawanya dicabut. (boleh rujuk disini utk kisah lanjut)
- Surah Qaf : 19 - sedikit berkenaan kandungan; Rasa kematian itu akan datang dengan kebenaran
- Surah al-Waqi'ah : 60 - terjemahan : "Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan."
- Surah al-Mulk : 2 - terjemahan : "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu - siapakah di antara kamu yang lebih balik amalnya; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."
- Surah al-Maidah : 31 - sedikit huraian kandungan; Ayat ini membawa kita kembali kepada sejarah kematian manusia pertama di muka bumi ini (peristiwa pergaduhan anak Adam a.s, Qabil dan Habil), di mana Allah mengajar bagaimana untuk Qabil mengebumikan mayat saudaranya. Peristiwa ini juga mengajar kita, bahawa hinanya pembunuhan itu disisi Allah, sehingga Allah menurunkan gagak sebagai panduan.
Cukuplah itu sahaja petikan2 yang saya letak di sini. Saya percaya, jika saya teruskan, anda yang membaca akan hilang fokus dan minat pada perenggan seterusnya (berdasarkan andaian, people tends to be bored when their reading something that doesn't cross their interests).
Pengurusan jenazah merangkumi aspek2 seperti memandikan, mengkafankan, solat ke atas jenazah dan mengebumikan jenazah.
Memandikan jenazah
Adalah penting untuk melantik seorang ketua untuk pengendalian utama sewaktu memandikan jenazah, dan ketua itu akan melantik penolong2 untuk membantu beliau. Sebelum jenazah dimandikan, hendaklah diletakkan kain yang sedikit tebal dan bercorak (elakkan kain berwarna putih) di atas jenazah untuk menutup aurat dan kemaluan si mati (bagi lelaki cukup sekadar menutupi bahagian dari pusat ke lutut, dan wanita dari dada ke lutut). Orang yang bertanggungjawab memandikan jenazah dinasihatkan untuk memakai sarung tangan. Seorang pembantu akan memegang hos air untuk memudahkan proses pemandian.
- Jiruskan air kapur barus (untuk menghilangkan bau)
- Istinjak - angkat sedikit badan mayat, sebelah tangan picit perut (dengan kadar yang berpatutan, tidak terlalu kuat) jenazah untuk mengeluarkan najis2 di dalam perut jenazah, dan sebelah tangan lagi digunakan untuk memeriksa bahagian bawah badan jenazah (memastikan najis betul2 keluar). Ulang beberapa kali sehingga diyakini tiada lagi najis di dalam perut jenazah. Kemudian, bersihkan tangan dengan sabun.
- Gunakan cotton buds untuk bersihkan rongga2 luar (hidung, telinga, mulut) - boleh juga menggunakan berus gigi untuk bersihkan bahagian depan gigi jenazah. Cotton buds juga digunakan untuk membersihkan kuku kaki dan tangan.
- Niat mandi jenazah, angkat sedikit kepala jenazah (bagi mengelakkan kemasukan air ke dalam rongga badan), mandikan jenazah dari kepala (minta pembantu alirkan air) ke kaki. Ulang 3 kali.
- Kemudian, pusingkan sedikit jenazah ke kiri, dan mandikan anggota kanan dan belakang jenazah hingga kaki. Ulang 3 kali.
- Ulang langkah yang sama sebanyak 3 kali untuk anggota kiri jenazah.
- Sabunkan (boleh guna apa2 jua jenis sabun) jenazah, dan bilas seperti cara mandian tadi.
- Jiruskan air kapur barus dan air mawar, wudukkan dan lap anggota jenazah.
Setelah dimandikan, tutup jenazah dengan kain yang bersih (biasanya orang guna kain batik lepas). Adalah penting untuk kita menjaga adab ketika memandikan dan mengkafankan jenazah i.e tutup aurat dan kemaluan jenazah, tutup keaiban jenazah - seperti tutup diri kita bila mana kita malu orang lain melihat kemaluan dan keaiban kita, seperti itu juga kita perlu lakukan untuk si mati.
Mengkafankan jenazah
Saya tidak mempunyai info bergambar yang lengkap untuk menunjukkan langkah2 yang betul bagi mengkafankan jenazah. Namun begitu, saya akan cuba untuk menyampaikan info ini sebaik mungkin supaya jelas langkah2 tersebut kepada anda yang membaca.
Untuk makluman semua, kain kafan akan diukur berdasarkan saiz badan jenazah. Tali2 pengikat (5 tali, dan biasanya tali ini dikoyakkan dari kain kafan tersebut), diletakkan terlebih dahulu sebelum lapisan kain kafan diletakkan. Sesetengah pengendali meletakkan kapas bantal (beserta renjisan air mawar) pada lapisan paling atas, sebelum diletakkan jenazah di atas lapisan2 kain tersebut. Kapas bantal juga digunakan untuk menutup rongga2 pada badan jenazah.
- Jenazah lelaki biasanya dikafankan dengan 3 lapisan kain, lapisan pertama cukup untuk menutup pusat hingga lutut (aurat lelaki), lapisan ke-2 sekurang-kurangnya menutup kepala hingga pusat, dan lapisan ke-3 adalah lapisan luar, untuk menutup keseluruhan badan jenazah.
- Bagi jenazah wanita pula, biasanya digunakan 5 lapisan kain, lapisan pertama cukup untuk menutup pusat hingga kaki, lapisan ke-2, kepala hingga pusat, lapisan ke-3 menutup kepala hingga pinggang, lapisan ke-4 menutup kepala hingga dada (khimar - boleh juga dipakaikan telekung untuk menggantikan lapisan ini), dan lapisan ke-5, iaitu lapisan luar untuk menutup keseluruhan badan jenazah.
Konsep asal mengkafankan jenazah adalah membaluti jenazah dengan kain. Tidak ada kaedah atau cara yang spesifik untuk tujuan ini. Namun, jenazah hendaklah dikafankan dengan kemas. Selesai semua balutan, proses akhir adalah mengikat jenazah dengan tali pengikat tadi. Ikatan hendaklah jatuh pada bahagian kiri jenazah dan tidak menggunakan ikatan mati. Rasional perbuatan ini adalah sewaktu pengebumian jenazah nanti.
Solat Jenazah
Menurut Imam Syafie', terdapat 4 rukun solat jenazah:
- Niat
- Takbir sebanyak 4 kali
- Salam
- Tertib
Kedudukan imam sewaktu mengimamkan jenazah adalah berbeza mengikut jantina jenazah;
- jenazah lelaki : imam akan berada selari dengan bahagian kepala jenazah
- jenazah wanita : imam akan berada di bahagian pinggang jenazah.
Mengebumikan jenazah.
Konsep asal pengebumian jenazah adalah; ludang yang digali hendaklah cukup dalam, sekurang-kurangkan kubur tersebut tidak mampu untuk digali semula oleh binatang-binatang buas. Biasanya, lubang kubur digali sedalam 7 kaki. Liang juga digali untuk menempatkan jenazah - lubang lain di dalam lubang kubur tersebut. Jenazah akan diletakkan menghadap qiblat. Setelah jenazah berada dalam keadaan yang stabil, tali pengikat tadi akan ditarik (rasional untuk tidak ikat mati dan ikatan jatuh pada bahagian kiri jenazah), dan kubur akan dikambus dengan tanah. Sunat untuk meninggikan tebing kubur setinggi sejengkal tangan.
Saya rasa, itu saja info yang saya boleh kongsikan untuk waktu ini. Selain info2 di atas, masih ada info lain yang berkaitan dengan topik ini. Namun, untuk waktu ini, cukup untuk apa yang ada sahaja. InsyaAllah, saya akan cuba kongsikan maklumat lain di waktu yang lain.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati, maka putuslah amalnya kecuali 3 perkara; sedekah jariah (berterusan), ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.".
Amin.
p/s: Saya bukanlah seorang yang mahir dalam ilmu agama, sekadar berkongsi info. Jika terdapat kesalahan dalam artikel saya ini, sila betulkan.
Post a Comment
Have something to say? ;)