Selamat datang November. Seperti baru sahaja aku mengusun atur barang-barang di dalam bilik ini, selepas pulang dari bercuti di Malaysia. Rupanya sudah 5 6 7 hari dalam November. Seakan pantas rentetan peristiwa dalam hidup aku berlalu. Namun, masih panjang untuk aku tempuh, dengan izin-Nya.
Ramai yang berbicara tentang masa lalu; bagaimana mereka sesal akan masa kini mereka dan berharap dapat memutar waktu ke masa lalu dan perbaiki semuanya. "Kalaulah dapat aku putarkan masa.." Tidak aku tolak bahawa tanggapan sedemikian pernah juga singgah di benak. Ingin perbaiki kelemahan dan perbetul kesalahan, atau paling tidak, untuk tidak melakukan kesalahan itu. Konon hidup akan lebih sempurna dengan pembaik-pulihan itu. Norma manusia, sesal selalu datang bila ada yang tidak kena pada pertimbangan akal sendiri.
Sejauh mana kita akan menjadi kita yang hari ini jika kita kembali ke masa lalu, ubah cacat dan hitam corak hidup yang dulu? Aku tidak mampu memberikan jawapan pada kamu semua. Bagi aku, kemungkinan besar aku tidak menjadi seperti diri aku sekarang jika aku tak memanjat gunung berliku dan redah lurah berduri dalam masa lalu. Dalam usia awal 20-an, aku akui, telah banyak yang aku tempuh dalam hidup. Aku pernah berdiri teguh, terjatuh dan merangkak semula untuk bangun. Payah dan peritnya tidak semua orang faham. Mereka mampu pandang dan berkata mereka faham. Cuma, 'rasa' faham itu tidak sama. Pasti, antara kamu juga ada yang pernah merasainya.
Hidup tak semuanya manis, senang dan lancar perjalanannya. Ada kala hujan dan panas. Ada waktu turun dan naik. Mungkin waktu duka itu perit, waktu kecewa itu pedih untuk ditanggung. Susah sehingga nafas pun tersekat-sekat dan otak tidak mampu berfikir dengan betul. Makan tidak menentu, diri sendiri pun tak terurus. Namun, turun-naik itu yang mencorak dan memberi motivasi untuk bangkit semula. Perasaan apabila berjaya bangkit itu lain, sungguh! Manisnya tak dapat didefinisi. Mungkin jika bukan kerana kecewa, duka dan susah di masa lalu, hari ini tidak seindah ini. Bagaimana pula jika perit dan pedih itu ditanggung sekarang? Allah itu Maha Adil. Hari esok kamu, akan Dia kurniakan sebaik-baik kegembiraan setelah kamu sabar dan gigih 'bertarung'.
Jadi, masih mahu kembali ke masa lalu dan ubah semuanya? Jika kamu ajukan soalan ini kepada aku, "tidak.." :)
No comments:
Post a Comment
Have something to say? ;)