Monday, 18 October 2010

Cinta kamu dan dia : bagaimana akhirnya?

Aku sedia maklum. Ada masa, entri-entri aku berbau sakarstik dan ada waktunya larut dalam kepekatan emosi yang tinggi. Bukan membabi buta menembak sesiapa, cuma sedikit luahan rasa yang mampu aku terbitkan dari jutaan rasa yang lain. Aku baca blog zara, tentang kisah cinta kawan baiknya. Memang agak tak masuk akal, seorang mak letakkan harga hantaran RM20k untuk anaknya yang hanya berkelulusan SPM dan berkerja sebagai operator kilang. Susah membesarkan anak katanya. Agaknya, membesarkan anak perempuan saja yang susah, besarkan anak lelaki senang macam minum air paip. Bila si lelaki minta tangguhkan dulu majlis perkahwinan lantaran mahu usahakan jumlah wang hantaran, si mak perempuan dengan tanpa rasa belas menaikkan 'harga anaknya' ke RM30k. Selepas berfikir panjang, lantas si lelaki nekad, memutuskan perhubungan cintanya yang dijalin bertahun-tahun dengan si perempuan. (Sila baca blog zara untuk rentetan penuh) 

Aku pasti, ramai antara kalian yang menjalinkan hubungan cinta dalam jangka masa yang panjang. Kemudian, hubungan yang terjalin itu putus tanpa apa-apa ikatan. Sayang, bukan? Pernah juga aku dengar di kalangan rakan-rakanku sendiri, dengan bangga berkata, "Kami dah 6 tahun bercinta." Aku tidak pernah meletakkan kepercayaan pada usia hubungan; makin lama kamu bercinta, makin kukuh hubungan yang dibina lantas membawa kepada pengakhiran yang bahagia. Namun, aku tak membantah sama sekali jika kalian berpendapat sebaliknya dengan aku. Terserah. Cuma satu soalan ringkas dari aku, "Apa perlu untuk bercinta sebegitu lama?" 



Pernah aku persoalkan diri aku sendiri; dalam hubungan cinta, apa yang mengambus terus rasa jemu? Apa pula faktor kekal-selamanya? Aku temui jawapannya dalam satu buku yang aku baca. Kata penulis, dalam setiap hubungan, mahu atau tidak jemu pasti bertandang. Sama ada hubungan itu cuma cinta biasa remaja atau hubungan sah ikatan antara suami dan isteri. Namun, ada beza besar akan keduanya. Hubungan cinta tanpa ikatan yang bertahun terjalin biasanya putus atas dasar jemu. "Saya sudah ada pengganti awak", "Saya perlu tumpukan perhatian pada pelajaran", "Kita sudah tidak sehaluan lagi", adalah maksud lain bagi satu perkataan mudah iaitu jemu. Begitu juga dalam alam rumah tangga. Jemu akan datang bertandang bila menginjak usia lima atau enam tahun perkahwinan. Lantas, perlukah diputuskan ikatan sah itu setelah beratus peratus usaha dilontar untuk mencari titik bahagia pada permulaannya enam tahun dahulu? Ini bezanya dengan cinta biasa. Kata penulis lagi, alam rumah tangga ada faktor 'tanggungjawab' yang mengikat pasangan untuk terus bersama. Lebih-lebih lagi jika tika itu sudah tidak hanya berdua. Dalam masa yang sama, 'tanggungjawab' itu akan menyuburkan semula kebun cinta yang layu suatu masa dahulu. Aku kagum dengan olahan beliau.

Mungkin tidak semua antara kalian yang memikirkan tentang keseriusan dalam berhubungan. Tapi, pernahkah kalian terfikir ketidak-seriusan kalian adalah pembaziran? Harta berjuta sekalipun takkan mahu dibazirkan untuk hubungan sia-sia? Atau pernah terfikirkah kalian, bahawa kalian telah menutup ruang dan masa kalian untuk 'berjumpa' dengan pasangan yang jauh lebih baik dari pasangan 'olok-olok' sekarang?

Aku tidak hanya tinggalkan persoalan. Aku telah memberikan jawapannya dalam diam. :)

No comments:

Post a Comment

Have something to say? ;)